PIHAK berkuasa Australia kini sedang menyiasat laporan mengenai masalah kehilangan kuasa pada kenderaan keluaran Volkswagen AG. Ia berikutan inkuiri terhadap kematian seorang wanita, Melissa Ryan akibat dilanggar oleh sebuah trak ketika mangsa memandu Volkswagen Golf pada tahun 2011.
Siasatan itu hadir hanya selepas beberapa minggu pengeluar kenderaan dari Jerman tersebut menarik semula kira-kira 91,000 unit keretanya di Jepun kerana kemungkinan berlakunya masalah kotak gear. Kerosakan itu boleh menyebabkan kereta tiba-tiba memecut atau menjadi perlahan ketika dipandu.
"Kami sedang menyiasat laporan-laporan berkaitan keselamatan kenderaan Volkswagen. Ini bagi memastikan sama ada isu-isu keselamatan sistem memang berlaku atau sebaliknya," kata Jabatan Infrastruktur dan Pengangkutan Australia dalam satu kenyataan.
Volkswagen Group Australia (VGA) dalam kenyataan balasnya menyatakan laporan pihak media bahawa kematian disebabkan oleh masalah nyah pecutan secara tiba-tiba adalah tidak benar.
Tidak wujud korelasi antara inkues serta laporan pengguna mengenai timbulnya masalah pada enjin diesel dan kotak gear DSG. Ini kerana kenderaan yang disiasat oleh inkues itu menggunakan enjin petrol dan bertransmisi manual. - Reuters