teamExora

Selamat Datang - Kongsi cerita/ilmu/maklumat perihal kereta/mpv

AWAS! Pemandu kenderaan Berat

Kementerian Pengangkutan sedang menimbangkan untuk menetapkan semua kenderaan khususnya kenderaan berat dilengkapi alat Electronic Braking System (EBS) bagi memudahkan pengesanan kesalahan pemandu.
Timbalan Menterinya, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).
"Seperti di China mereka telah melakukan pendekatan tersebut (menggunakan EBS pada kenderaan berat) dan menunjukkan banyak perubahan positif," katanya dalam sidang media selepas pelancaran 'Lafarge Drivers Safety Day' di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Beliau berkata, kenderaan berat menjadi keutamaan kerana ia bukan sahaja menyebabkan kemalangan maut malah merosakkan jalan raya serta meningkatkan pencemaran udara.
Katanya, lebihan muatan pada sesebuah kenderaan berat juga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Ab. Aziz berkata, alat Global Positioning System (GPS) juga mungkin akan diaplikasikan pada setiap teksi bagi mengelak penumpang ditipu seperti helah pemandu teksi yang menggunakan laluan yang lebih jauh.
Dalam perkembangan lain, beliau meminta semua pengguna jalan raya mengurangkan had laju ekoran keadaan jerebu yang melanda negara.
"Penglihatan pun sudah semakin kabur, oleh itu pemanduan yang laju boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain seperti motosikal dan pejalan kaki," katanya. - BERNAMA

Search This Blog