teamExora

Selamat Datang - Kongsi cerita/ilmu/maklumat perihal kereta/mpv

PENYERAP HENTAK - CARA MENGUJI SAMA ADA PERLU DIGANTI ATAU TIDAK



PENYERAP HENTAK - CARA MENGUJI SAMA ADA PERLU DIGANTI ATAU TIDAK

Penyerap hentak atau peredam (shock absorber atau damper) merupakan komponen penting dalam sistem gantungan kenderaan. Walaupun ia dinamakan sebegitu rupa, ia bukanlah komponen yang menyerap hentakan.

Bagaimana kita dapat mengesan fenomena ini?

Di dalam makmal terdapat mesin ujian khas yang dapat mensimulasi pergerakan syaf penyerap hentak pada halaju berbeza-beza sambil daya peredaman direkodkan pada setiap ketika.

Data yang diambil dapat memberikan gambaran prestasi komponen ini secara komprehensif. Namun jika anda bukan pembuat kereta atau syarikat pembekal penyerap hentak, tidak ramai yang mempunyai akses kepada mesin ujian khas ini.

Editor teknikal Careta, Syammim Noori Arifin kongsikan beberapa cara yang anda mungkin boleh lakukan sendiri.

Bagaimana kita dapat mengesan fenomena ini?

Di dalam makmal terdapat mesin ujian khas yang dapat mensimulasi pergerakan syaf penyerap hentak pada halaju berbeza-beza sambil daya peredaman direkodkan pada setiap ketika.

Data yang diambil dapat memberikan gambaran prestasi komponen ini secara komprehensif. Namun jika anda bukan pembuat kereta atau syarikat pembekal penyerap hentak, tidak ramai yang mempunyai akses kepada mesin ujian khas ini.

Editor teknikal Careta, Syammim Noori Arifin kongsikan beberapa cara yang anda mungkin boleh lakukan sendiri.

= SECARA VISUAL =
Penyerap hentak yang mengalami kebocoran.    

 Kita boleh mengesan tanda-tanda kebocoran minyak penyerap hentak pada badan komponen ini.

Perhatikan tanda-tanda "basah" pada bahagian tiub dan syaf penyerap hentak yang merupakan tanda minyak hidraulik sudah bocor dari pelapik getah di bahagian ini.

Namun begitu, sekarang ini sudah ada penyerap hentak mempunyai alas habuk yang menyukarkan kita untuk melihat terus bahagian syaf dan tiub penyerap hentak.

Dalam hal ini, cuba selak sedikit alas habuk tersebut dan perhatikan tanda-tanda minyak bocor.  

Cara seterusnya ialah ujian "tekanan" yang memerlukan kita menekan kenderaan kita pada bahagian bucu. Mungkin praktikal kalau kereta kita kecil, tapi kalau bucu kereta kita pun sudah mencapai paras pinggang, ini tidak mudah dilakukan.

Apa pun, cuba henyak atau tekan dengan berat badan anda pada bucu kereta dan lepaskan.

Jika pergerakan badan kenderaan kembali ke keadaan pegun secara cepat tanpa berayun-ayun, ia bermakna penyerap hentak masih berfungsi.

Jika kenderaan anda naik dan turun beberapa kali seperti bot kecil dilanda ombak, penyerap hentak anda sudah pun meninggal dunia.  

 Seterusnya adalah kaedah yang lebih "dinamik" melibatkan kita memandu untuk menentukan prestasi penyerap hentak.

Masalah utama dengan kaedah ini adalah kerana sebagai pemandu kita akan mengadaptasi pemanduan kita dengan prestasi penyerap hentak yang semakin berkurang.

Jadi mungkin kita tidak akan sedar yang kereta kita semakin lama semakin "longgar" dari segi kawalan badan (contoh sewaktu membelok atau menukar lorong) dan kawalan roda (sewaktu melanggar lopak atau garisan kuning).

Untuk menggunakan kaedah "dinamik" ini, kita harus ingat kembali tindak balas kereta sewaktu kita menjalankan kaedah pandu uji sewaktu penyerap hentak masih dalam keadaan segar (samada ketika kereta masih baru dibeli atau penyerap hentak baru diganti dengan set baharu).

KAEDAH PERTAMA
ialah dengan memandu kereta di atas bonggol halaju bersaiz sederhana (bukan yang kecil seperti di kawasan parkir bangunan, atau yang terlalu besar seperti di Putrajaya) - cukup lebar untuk di pandu sekadar 20-30 kmsj (pandu pada halaju malar, tanpa memecut atau membrek di atas bonggol) yang akan menyebabkan badan kenderaan mengayun secara tegak.

Penyerap hentak yang berfungsi baik akan "menyerap" pergerakan badan kereta secara cepat tanpa berayun-ayun.

Jika bahagian belakang anda terhentak dengan kasar, ia juga bermaksud penyerap hentak dan spring juga sudah habis tempoh hayat dan kenderaan anda mengalami "bottom out".

 Kaedah kedua ialah dengan memandu di jalan yang lebar dan mensimulasi pergerakan menukar lorong separa cepat.

KAEDAH KEDUA
ini agak sukar dilakukan kerana ia memerlukan ketajaman persepsi pemandu dan skil pemanduan dari segi kepersisan (precision) dan kejituan (accuracy) kawalan halaju dan steering setiap kali panduan uji ini diulang pandu. Ia juga lebih merbahaya jika dilakukan di tempat yang tidak sesuai (jalan raya yang sibuk, atau permukaan yang tidak konsisten).

Pandu pada kelajuan malar 60 kmsj dan tukar lorong secara separa cepat (seolah-olah memotong kenderaan yang bergerak sedikit perlahan dari anda) dan sambung pemanduan lurus di lorong sebelah.

Sewaktu pergerakan ini dilakukan, tumpukan persepsi anda pada kadar olengan gandar hadapan dan belakang, dan jika ekor kereta terasa seperti membuang keluar.

Apabila kereta kembali dipandu lurus, pastikan pergerakan olengan badan kereta dan daya sisi pada ekor kereta kembali pegun secara cepat.

Jika kenderaan mengoleng pada kadar yang terlalu cepat (seolah-olah bucu hadapan atau belakang kereta "menjunam" ke bawah) atau ekor kereta membuang keluar, ini memberi petanda penyerap hentak tidak berfungsi secara optimum.

Apa pun, adalah penting kaedah ini dilakukan dengan mengambilkira memori anda sewaktu penyerap hentak masih berkeadaan baik untuk perbandingan yang lebih tepat.

Juga diingatkan kaedah ini juga memerlukan komponen-komponen gantungan yang lain tidak berubah (spring, jenis model dan tekanan tayar, berat kenderaan dan sebagainya kekal pada tahap yang sama).

Untuk model-model kenderaan terkini, prestasi luaran penyerap hentak boleh tahan lebih dari 100,000km namun prestasi sebenar akan bergantung kepada jenis pemanduan dan kekasaran permukaan jalan.

Lebih lasak dan kasar, lebih cepat penyerap hentak hilang fungsinya.  Jadi, rajin-rajinlah memeriksa prestasi komponen penting ini dari masa ke semasa.

Tidak kira kaedah mana yang anda pilih, pastikan keselamatan sentiasa diutamakan.   *Pihak Careta tidak bertanggung-jawab di atas sebarang kecederaan atau kemalangan diakibatkan dari ujian anda sendiri.

Dalam apa jua keadaan, keselamatan mesti didahulukan.

Untuk mengenali Syammim, baca artikel mengenai pakar pengendalian negara yang dahulu bertugas di Proton dan kini bekerja untuk Magna Steyr (antara konsultan automotif terbaik di dunia) dalam artikel ini.

Artikel lain oleh Syammim ialah Camber Bolt - patut ditukar atau dongeng kedai  

SUMBER DIPETIK DARI
➡ Careta.my
➡ Gambar 2 hingga 4 diambil dari Careta.my





Search This Blog